Search This Blog

Saturday, March 27, 2010

KUPASAN PROF. DR. ABDUL AZIZ BARI CUKUP MEMBERI MAKNA YANG JELAS KEPADA JEMAAH


Wangsa Maju, 25 mac 2010..Masjid Usamah Bin Zaid sekali lagi telah mengubah method dakwah agar ia lebih memberi kesan yang mendalam kepada ahli kariah khususnya dan masyarakat umumnya. Pihak Pengurusan Masjid telah menggunakan medium dakwah ini dengan menjemput ahli-ahli akademik yang mempunyai keistimewaan (authority) untuk datang memberi kupasan berbentuk kuliah untuk jemaah semata-mata memberi pendedahan awal dan taklimat berkenaan isu-isu yang menjadi tanda tanya dikalangan masyarakat dan jemaah. Pada hari khamis yang lalu Pihak Pengurusan Masjid telah menjemput Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sebagai penceramah yang membicarakan kuliah yang bertajuk KEDUDUKAN MELAYU ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA. Tajuk yang telah dibicarakan ini adalah amat penting kerana ia melibatkan permasalahan kehidupan setiap insan yang beragama islam. Prof. Dr. Abdul Aziz Bari telah berjaya mengupas dan membuka mata dan fikiran ahli kariah betapa peri pentingnya perlembagaan dan perundangan dalam islam di negara kita ini. dalam kuliah maghrib yang telah disampaikan oleh beliau untuk jemaah Masjid Usamah Bin Zaid, beliau telah menggariskan 8 elemen perundangan dan perlembagaan yang amat penting daripada elemen yang lain bagi umat islam di negara ini.
Antara elemen yang telah diwacanakan ialah :
  • Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi; undang-undang lain perlu selaras dengan perlembagaan. Perlembagaan merangkum Perlembagaan Persekutuan dan 13 perlembagaan negeri yang lain.
  • Perkembangan perlembagaan bermula sejak Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke 15M, Kesultanan Johor (1895), Kesultanan Terengganu (1911) dan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Selepas merdeka ia terus berkembang dengan pembentukan Malaysia (1963) dan seterusnya. Apa yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid dan Suruhanjaya Cobbold adalah kehendak rakyat sendiri.
  • Islam adalah sebahagian daripada perlembagaan. Selain peruntukan dalam perlembagaan negeri mengenai Raja-Raja peruntukan mengenai Islam terkandung di bawah Per.3, 11, 12, 121(1A), 150(6A), 160(2) dan Jadual Kesembilan. Islam juga dimasukkan ke dalam pelbagai peruntukan undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri: akta & enakmen. Dengan itu Islam telah menjadi sebahagian daripada undang-undang negara.
  • Islam menjadi tunjang kepada definisi Melayu. Ini penting kerana ada banyak peruntukan mengenai Melayu: dalam perlembagaan negeri (MB & SUK), bahasa Melayu (Per.152), kedudukan istimewa Melayu (Per.153), Rejimen Askar Melayu (Per.8(5)(f), Tanah Rezab Melayu (Per.89); dll.
  • Islam juga menjadi tiang seri institusi Raja yang mempunyai peranan mempertahankan peruntukan mengenai Islam dan Melayu: Majlis Raja-Raja; Per.38 dan 159(5)
  • Islam boleh dilaksanakan melalui kerangka perlembagaan. Apa yang perlu ialah sokongan dan dokongan rakyat supaya undang-undang sedemikian dapat diwujudkan oleh parlimen/DUN. Sokongan ini boleh diwujudkan melalui pendidikan dan politik. Rakyat perlu faham dan komited dengan Islam.
  • Peruntukan yang ada sedikit; tetapi ini semua boleh ditambah sekiranya rakyat menyokong usaha ini. Usaha memperkasa Islam perlu dijalankan dengan telus dan demokratik. Ia tidak harus melalui pendekatan memaksa. Ketika ini belum semua peruntukan yang ada itu telah dimunafaatkan.
  • Apa yang penting ialah iklim dan persekitaran yang sesuai supaya perlembagaan berkembang mengikut kehendak Islam. Usaha ini perlu bermula dalam diri, keluarga dan masyarakat. Peruntukan perlembagaan tidak bermakna jika masyarakat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam. Kekuatan sebanyak 60 peratus sudah memadai. Tetapi mereka perlu menunjukkan kualiti, bukan sekadar kuantiti.

Kemudahan Terbaru

Kemudahan Terbaru
untuk sebarang aktiviti masjid usamah bin zaid